‘Jangan memekik’ – Ahmad Fadhli cabar Zawawi di PRU15

0
2

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman untuk ‘bertempur’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di negeri itu nanti.

Cabaran itu dilontarkan gara-gara Zawawi yang juga Ketua Umno Pasir Puteh menyatakan pihaknya menolak kerjasama dengan PAS selagi terdapat tiga pemimpin parti berkenaan yang disifatkan sebagai ‘tiga jahanam’ yang bermulut jahat.

Justeru, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menempelak ucapan Zawawi ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini yang disifatkan ‘sangat beradab’.

“Geli hati membaca laporan berita ucapan seorang Ketua Bahagian di Kelantan di himpunan mereka tadi. Katanya dalam PAS ada tiga jahanam dan dinamakan siap-siap siapakah mereka.

“Sewaktu saya berkempen di Johor, saya tidak menyebut nama mana-mana individu dlm parti mereka, hanya nama parti dan isu-isu sahaja, itupun gegak gempita mereka kata kempen itu keterlaluan.

“Barangkali ucapan sang ketua bahagian ini ‘sangat beradap’ kot, ataupun yg memekik gudbye itu sangatlah bersopan santun manis berbudaya,” katanya menerusi Facebook.

Oleh hal demikian, Ahmad Fadhli mengingatkan Zawawi jangan hanya bersuara dan memekik memburukkan PAS, tetapi buktikan melalui PRU15 sama ada boleh memenangi kerusi di tempatnya semula.

“Begini sahajalah Datuk Ketua Bahagian, kita berjumpa sahaja dalam pilihan raya nanti. Kami pun suka sangat nak bertempur nanti. Datuk boleh cuba lagi untuk padamkan rekod kalah 0-5 di bahagian Datuk.

“Jemput juga bekas calon Parlimen PRU14 datang sekali lagi, tapi janganlah disabotaj pula. Kasihan, nanti duit banyak yang habis,menang tak juga.

“Lucu juga, bila pemimpin yg tiada rekod masalah integriti dilabelkan jahanam, atau Datuk nak sindir pemimpin sendiri yang lebih jahanam? Jangan begitu Datuk, nanti tak dapat watikah,” katanya.

Terdahulu Zawawi dalam ucapannya menyenaraikan tiga pemimpin PAS itu iaitu Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin Umno tidak pernah mengatakan PAS begitu dan begini, namun sebaliknya pemimpin PAS berkenaan menghina Umno dengan pelbagai nama seperti itik patah kaki. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here