TMJ taja penukaran rumput bagi Stadium Bukit Jalil

0
1

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menawarkan penajaan rumput jenis Zeon Zoysia kepada Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi hantaran Facebook Johor Southern Tigers, perkara tersebut dibincangkan Tunku Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika lawatannya di stadium itu hari ini.

“DYAM Tunku Ismail turut menawarkan untuk menaja beberapa peralatan penyelenggaraan padang selepas padang ditukar.

“Perbadanan Stadium Malaysia mengalu-alukan penajaan tersebut namun meminta kerja-kerja tersebut hanya dimulakan pada Januari 2023 berikutan stadium telah ditempah sepenuhnya dengan pelbagai acara sepanjang tahun 2022,” kata hantaran itu.

Turut hadir dalam lawatan itu, Ketua Penyelia Padang Stadium Sultan Ibrahim, Nigel Taylor yang akan melakukan pemeriksaan lebih teliti ke atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum memulakan kerja.

“Pihak berkuasa Stadium Nasional Bukit Jalil juga akan melawat Stadium Sultan Ibrahim untuk mempelajari cara-cara menjaga padang tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Ahmad Faizal pula menjunjung kasih kepada Tunku Ismail atas kesudian mencemar duli berangkat melawat Stadium Nasional Bukit Jalil bagi penajaan penanaman rumput bertaraf antarabangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here