Lelaki ditahan pandu kereta di lorong motosikal

0
2

SEORANG pemandu kereta jenis Honda Civic ditahan selepas tular memandu di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan tular di Facebook jam 2.41 petang semalam.

Menurutnya, video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias di laman Facebook DashCam Owners Malaysia.

“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Wisma CIMB, Jalan Pantai Baharu.

“Bertindak atas aduan, pada jam 6.30 petang pemandu kereta berkenaan berjaya dikesan dan tindakan tangkap terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dibuat ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999.

“Atau boleh hubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here