KETUA Pemuda Umno Jasin, Dr Muhammad Akmal Saleh menegaskan tiada gunanya jawatan dalam parti jika tiada kerajaan, mala pemilihan parti hanya perlu diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
Beliau menyifatkan Umno akan menjadi lebih lemah jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15 dan tidak akan mampu berdepan cabarannya yang jauh hebat berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Apakah dengan pertembungan di pemilihan parti akan menyatupadukan kita ini ataupun memecah belahkan kita ini?
“PRU pula memang tak lama lagi. Adakah parti berada dalam keadaan yang siap siaga pada ketika itu? Adakah parti berada di dalam satu kesatuan yang kuat ketika itu setelah baru selesai pemilihan? soalnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perwakilan sayap Pemuda pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, di PWTC, hari ini.
Menurutnya, bila ada pertembungan dalam pemilihan parti, maka inilah yang akan menjadi titik permulaan perpecahan dalam parti.
Dr Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Melaka, menjelaskan pemilihan akan melemahkan sekurang-kurangnya 60 peratus jentera Pemuda.
Menurutnya, ia kerana ada lebih kurang 114 orang Ketua Pemuda Umno Bahagian terpaksa melepaskan jawatan atas faktor umur.
“Ini tak termasuk lagi Naib Ketua Pemuda yang dah habis umur. Bayangkanlah, Ketua Pemuda Bahagian ini semua ambil jawatan ketika kita semua sedang kalah.
“Saya sendiri di Jasin, untuk julung kalinya menang tanpa bertanding. Semua orang tak nak jadi ketua masa tu. Ketua Pemuda yang sebelum ini pun melompat parti sebab rasakan Umno dah kalah tak boleh nak cari makan dengan Umno,” katanya. – Malaysiapost

