Tak sabar bubar Parlimen, rakyat akan lihat Umno gila kuasa – Muqharabbin

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=4296671723694092&set=t.1538252897

AHLI Umno tidak perlu mencurah minyak sesama sendiri dalam mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana kerajaan kini diterajui oleh pemimpin dari Barisan Nasional (BN).

Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada lima pemimpin teratas parti diketuai Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan perkara itu.

“Jika kita tidak sabar dan terjerit-jerit nak bubar Parlimen, rakyat akan melihat kita gila kuasa dan pasti mereka akan mengatakan yang Umno dah berperangai seperti dulu.

“Kita kini seharusnya bergandingan sesama kita dan terus menyerang pembangkang, bukan dalaman parti.

“Kita mesti menyatakan dan mewar-warkan kepada rakyat dan akar umbi, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, sebenarnya sudah nampak sinar dalam menstabilkan ekonomi negara dan juga berani mengutamakan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Muqharabbin berkata, impak positif apabila BN diberikan kuasa majoriti memerintah Melaka dan Johor, semakin ramai pelabur sudah kembali ke Malaysia dan berminat melabur.

Katanya, ditambah dengan pembukaan sempadan bermula 1 April ini dan kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat meringankan kesempitan rakyat, di samping pemberian Bantuan Keluarga Malaysia.

“Saya berharap agar kita rapatkan barisan, satukan hati dan terus memberi mandat kepada pemimpin kita untuk membawa parti kita menjadi parti dominan.

“Parti yang mampu membawa suara rakyat bila memerintah selepas PRU 15 nanti, jika diizinkan Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here