Sikap Syed Saddiq, pembangkang punca pelabur lari

0
2

SIKAP Syed Saddiq Abdul Rahman dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sering memburukkan negara sendiri selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (_PRU14) lalu, menyebabkan Malaysia kini mengalami kerugian dalam pelaburan asing.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata tindakan PH memburukkan Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh dimaafkan namun tingkah laku mereka memburukkan nama negara di mata negara asing tidak boleh dimaafkan sama sekali, lapor FMT.

“Kita tak marah dia (PH) kutuk kita… kita marah dia pergi rayau (bercerita buruk) satu dunia menyebabkan pelabur lari.

“Kita boleh maafkan salah dia dekat kita, (tetapi) kita tak boleh maafkan salah dia kerana memburukkan negara ini sehingga orang tak mahu datang dan hormati kita lagi.

“Pergi cerita dekat semua orang cerita tak betul pasal apa, akhirnya negara kita rugi… yang ini kita tak boleh maafkan sebab merugikan negara dan rakyat,” ucapnya mewakili MKT pada sesi penggulungan Persidangan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), semalam.

Razali yang juga Ketua Umno Bahagian Muar mendakwa pembangkang mempunyai niat jahat kerana dari awal memilih warna dan nama seakan-akan menyamai identiti Umno, dipercayai merujuk kepada Bersatu.

Justeru, Razali memberi peringatan kepada sayap Pemuda supaya tidak mengikut cara Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA yang hanya pandai bercakap ketika menyentuh isu pembangunan negara.

“Satu hari, tuan-tuan akan jadi ketua bahagian, presiden dan sebagainya… tolong sampaikan kepada anak muda di luar sana nak jaga negara bukan macam Syed Saddiq Ahli Parlimen saya (Muar), cerita dia senang saja macam mana nak jaga negara.

“Tuan-tuan, saya nak bagi tahu… negara ini perbelanjaan pembangunan ada rangka-rangka tertentu. Bina negara bukan hanya atas kertas dan bercakap saja tetapi ada rangka kerja yang cukup sulit untuk bawa kita ke hadapan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here