Bubar Parlimen, Agong ada kuasa mutlak – Tajuddin

0
1
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

YANG di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak menerima atau menolak keputusan kabinet berhubung pembubaran Dewan Rakyat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata Umno boleh minta untuk buat keputusan pembubaran Parlimen segera, namun ia bukan hanya bergantung kepada keputusan Perdana Menteri sahaja.

Menurutnya, keputusan akhir mengenai perkara itu adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Dari segi Perlembagaan, yang menasihatkan Agong bukan Perdana Menteri seorang, ia adalah keputusan Kabinet..Perdana Menteri bawa ke Kabinet, Kabinet bersetuju baru Perdana Menteri bawa menghadap Agong.

“Kalau Kabinet tak setuju tak ada apa yang boleh dibawa Perdana Menteri kepada Agong.

“Walaupun Kabinet bersetuju, tetapi Agong mempunyai kuasa mutlak terima atau tolak keputusan Kabinet. Kita tak boleh tahu..boleh buat ke tak boleh buat, kita boleh berusaha merayu bercadang, itu boleh,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, berpendapat Jemaah Menteri juga pasti mempunyai keputusan yang berbeza berhubung perkara itu.

“Kita tengok nanti perbahasan, saya berpandangan berbelah bagi. Ada ahli nak pilihan raya awal dan ada berpendapat bukan masa untuk Pilihan Raya Umum (PRU), tapi masa untuk tumpu kepada kerja membela rakyat yang hadapi pelbagai masalah.

“Itulah nasihat Yang di-Pertuan Agong, titahnya semasa merasmikan Parlimen baru-baru ni,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai ‘cai’ atau senarai bayangan barisan pemimpin untuk dipilih bagi mempengaruhi perwakilan dalam pemilihan Umno kelak, Tajuddin berkata ia adalah bukan perkara yang menghairankan.

Beliau turut berpendapat tarikh pemilihan parti perlu ditetapkan terlebih dahulu dan barulah mula cai.

“Tetapkan tarikh pemilihan barulah mula cai-cai tu. Soal cai ini perkara biasa, tiap kali pemilihan ada cai, kenapa rasa macam tak biasa tentang benda tu, apa yang yang menghairankan, yang tidak normalnya?

“Tiap kali pemilihan Cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi mesti ada cai.

“Ini bukan perkara baru yang tak pernah berlaku dalam Umno. Tak payah cakaplah. Saya dah 45 tahun dalam Umno berapa banyak pertandingan saya dah lihat. Ada sahaja cai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here