BUKAN usia yang muda menjadi isu dalam pelantikan Menteri Besar Johor baru-baru ini, sebaliknya ia berkait rapat dengan kepentingan kesinambungan, tegas veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Beliau menjelaskan mengenai isu pelantikan itu yang ramai melihatnya seolah-olah lebih cenderung untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut, Datuk Hasni Mohammad untuk terus memimpin kerajaan Johor kerana usianya.
Menurutnya, sebelum ini sudah tiga tokoh Umno, yang dibawah dan dalam usia 40 tahun, pernah memimpin kerajaan negeri Johor.
“Usia tidak jadi hal. Kesinambungan tu yang penting. Nak menang balik kerajaan pusat tu. Johor paling banyak rugi masa negara di bawah PH (Pakatan Harapan),” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Umno bakal hadapi ‘perang’ yang lebih besar dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru dilalui pada 12 Mac lalu.
“Banyak perkara yang tertangguh dan belum diselesaikan lagi semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Harap janganlah tergantung pula manfaat bagi rakyat yang tertangguh oleh dua Menteri Besar dari PH kerana tidak faham bagaimana hendak mengurus tadbir negeri Johor,” katanya.
Shahrir berkata, dengan bantuan daripada pihak yang betul, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mampu menyelesaikan isu-isu yang tertangguh sebelum ini.
“Insyaa-Allah, dengan bantuan ‘pasukan’ yang betul, Dato Onn Hafiz, Menteri Besar baru ini, mampu menyelesaikan perkara-perkara rakyat yang tertangguh itu sebelum bermulanya ‘perang besar’ PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

