Jangkitan, kematian akibat Covid-19 dalam kalangan warga emas kian meningkat

0
1
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

GOLONGAN warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dan komplikasi yang teruk akibat jangkitan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kemasukan kes ke hospital dan kadar kematian dalam kalangan warga emas juga adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lain.

Menurutnya, sejak Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, kadar kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas telah meningkat daripada 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi pada ME 10/2022.

“Seperti yang diketahui umum, terdapat di kalangan kes Covid-19 yang akan merosot, memasuki Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mati. Justeru itu, kenaikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 di kalangan warga emas ke hospital ini amat membimbangkan.

“Data jelas menunjukkan bahawa warga emas yang tiada vaksinasi atau tiada dos penggalak amat berisiko tinggi meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dari ME 1/2022 sehingga ME 10/2022, sebanyak 86,804 kes Covid-19 adalah dalam kalangan warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 83,709 kes (96.44 peratus) telah direkodkan mengalami jangkitan pada kategori 1 dan 2 semasa baharu didiagnosa, manakala 3,095 kes (3.56 peratus) mengalami jangkitan pada kategori 3, 4 dan 5.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas terutamanya 80 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi berbanding kumpulan umur yang lain.

“Kumpulan warga emas yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko mendapat jangkitan teruk dan seterusnya mengakibatkan kematian.

“Warga emas yang telah menerima vaksinasi Covid-19 lengkap dan dos penggalak adalah paling terlindung di mana kes jangkitan kategori 1 dan 2 adalah lebih tinggi berbanding kes jangkitan kategori 3, 4, dan 5.

“Kematian akibat Covid-19 dalam kalangan penerima dos penggalak adalah lebih rendah berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan lengkap divaksinasi tetapi tidak lengkap dos penggalak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru kepada semua warga emas yang berkelayakan untuk segera mendapatkan vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak.

“Pengambilan vaksin terutama dos penggalak penting untuk warga emas bagi melindungi daripada jangkitan teruk yang boleh membawa maut dan sebagai persediaan apabila negara memulakan fasa ‘peralihan ke endemik’ pada 1 April ini.

“Anak-anak dan ahli keluarga memainkan peranan yang penting untuk membawa ibubapa, datuk, dan nenek untuk menerima vaksinasi dos primer dan dos penggalak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here