UMNO tidak mahu dikaitkan dengan kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘pintu belakang’ kerana bukan parti itu yang tebuk ataupun buka pintu belakang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan ‘sampah sarap’ sebegini tidak seharusnya dipalitkan kepada Umno.
“Kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan Umno. Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang.
“Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada Umno. Kita ada prinsip. Kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tumbang selepas Bersatu dan sebahagian ahli Parlimen PKR bertindak menarik sokongan dan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan PN dibentuk Bersatu melalui kerjasama dengan Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Umno bukan parti picisan dan gila kuasa seperti mana dakwaan pihak tertentu.
“Umno bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki Umno dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan.
“Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain,” katanya. – Malaysiapost

