Dua sebab kerajaan negeri PH, PN tak mahu bubar DUN bersekali Parlimen

0
2
shahrir samad

KERAJAAN negeri Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bersekali dengan Dewan Rakyat kerana sedar mungkin mengalami nasib sama seperti rakan-rakan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata keduanya, mereka juga sedar bahawa penguasaan terhadap kerajaan negeri bermakna penguasaan di peringkat penguasa tempatan dan pentadbiran daerah.

Menurutnya, hubungan rakyat dengan kerajaan adalah lebih bersifat ‘local’ iaitu dengan majlis daerah dan tempatan serta dengan penghulu dan ketua kampong.

“Fakta yang kedua ini adalah hasil terpenting dari kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka dan Johor.

“Kepimpinan keenam-enam negeri ini juga faham bahawa penguasaan kerajaan tempatan dan pentadbiran daerah adalah kekuatan sebenar mereka di peringkat negeri.

“Kekuatan ini sangat diharapkan mereka untuk membantu parti mereka pada masa pilihan raya peringkat Parlimen sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sehubungan itu Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata tentunya kerajaan negeri PH dan PN ingin mengguna kekuatan tersebut.

“Sebab itu, mereka akan berusaha untuk habiskan penggal DUN supaya dalam PRU15 (hanya untuk Parlimen) mereka masih bolih mengguna kekuatan itu,” katanya.

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor masing-masing berkata mereka tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat, sebaliknya menunggu sehingga penggal ini berakhir.

Kelmarin Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ia bagi memberikan tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here