DAP tak payah sakit kepala – Annuar

0
3

UMNO tidak akan bekerja sama dengan mana-mana kumpulan yang di dalamnya ada DAP,  kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, oleh itu DAP tidak perlu sakit kepala memikir dengan siapa UMNO akan membentuk pakatan.

“UMNO tidak akan bekerjasama dengan sesiapa sekali pun sekiranya bersama mereka ada DAP.

“Jadi, DAP tidak payah sakit kepala,” katanya di Twitter.

Kenyataan Annuar itu sebagai membalas pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa partinya sama sekali tidak akan kerjasama dengan UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu Guan Eng, ketika berkempen di Kota Kinabalu menekankan pendirian parti itu yang tetap menolak Umno dan Presidennya.

“Kita lawan Umno dan BN, Perikatan Nasional (PN) kerana kita tak boleh terima dasar memecah belahkan rakyat.

“Saya nak tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Zahid dan Najib,” katanya

Rabu lalu, Anwar mengumumkan sudah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa kerajaan yang akan dibentuknya adalah kerajaan Melayu-Islam dan antara Ahli Parlimen yang memberikan sokongan termasuk dari Umno.

Kenyataan Anwar itu di sambut pula oleh Ahmad Zahid yang mengatakan bahawa Umno tidak boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimennya yang mahu menyokong Anwar.

Susulan itu, sebuah portal menyiarkan nama 19 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menyokong Presiden PKR itu.

Namun, semua mereka menafikan menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan. -Malaysiapost