Pejuang tidak terhegeh-hegeh untuk bersama Anwar

0
2

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menerima tekanan pelbagai pihak bagi mengemukakan bukti jumlah sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau hairan dengan pengumuman Anwar yang mengakui memiliki majoriti yang besar.

Mukhriz berkata, ketika ini satu demi satu Ahli Parlimen dari Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak mengesahkan tidak menyokong Anwar.

Katanya, 17 lagi Ahli Parlimen mewakili Pejuang, Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu dilihat sebagai kompenen penting dalam menentukan keputusan mengenai perubahan tampuk pemerintahan negara.

Bagaimanapun, tegas Mukhriz, tindakan Anwar yang dilihat tidak sudi bekerjasama dengan pihaknya menyebabkan kesemua 18 daripada mereka tidak mengambil sikap “terhegeh-hegeh” untuk menawarkan diri bagi menyertai kerjasama berkenaan.

“Saya tak tahu apa sebabnya (pengumuman Anwar), tetapi dalam sidang media yang dibuat Anwar, dia sebut secara jelas kumpulan Tun (Dr Mahathir Mohamad) tak termasuk dalam jumlah (majoriti) yang dia punyai.

“Jadi, kami tak terasa, sebab tak pernah sesiapa bawa berbincang niat dia untuk ambil alih tampuk kepimpinan kerajaan ini.

“Takkanlah kami nak terhegeh menawarkan jumlah 18 yang kami ada, walhal orang itu pun macam tak sudi,” katanya seperti dilaporkan Awani.

Sebelum ini, Dr Mahathir juga mendesak Anwar menunjukkan bukti bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan sebuah kerajaan baharu. -Malaysiapost