Siti Nurhaliza hamil anak kedua?

0
2

Nurul Huda Abhar

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dikatakan mungkin sedang berbadan dua.

Berita itu menjadi perhatian warganet sejak semalam, selepas mengesan telatah Siti Aafiyah yang mencium perut ibunya ketika bersiaran langsung di media sosial.

Video siaran langsung (live) Siti di Instagramnya semalam, memaparkan Aafiyah mencium perut ibunya beberapa kali sambil tersenyum gembira dan menunjukkan riak wajah teruja.

Peminatnya rata-rata membuat ramalan bahawa penyanyi dan usahawan terkenal itu sedang mengandung anak kedua dan tindakan Aafiyah menguatkan lagi andaian tersebut.

Dalam masa yang sama, pengikutnya di laman Instagram mengucapkan tahniah dan mendoakan semua urusan penyanyi ‘Aku Bidadari Syurga’ itu berjalan lancar.

Sebelum ini, Siti telah mengambil keputusan untuk berehat daripada industri hiburan buat sementara waktu, dan itu menguatkan lagi spekulasi yang beliau kini sedang hamil.

Siti Nurhaliza bersama Siti Aafiyah

Media sebelum ini melaporkan isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 61, mengakui sedang merancang untuk memiliki cahaya mata kedua tahun ini.

Menurut Siti, beliau telah mendapatkan nasihat doktor bagi proses rawatan kesuburan, In Vitro Fertisation (IVF) untuk kali kedua.

Katanya, oleh kerana usianya yang makin meningkat dia bercadang untuk menimang seorang lagi anak sebelum usia mencecah 43 tahun.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memasang impian untuk mempunyai anak lelaki selepas kelahiran anak perempuan pertamanya, Siti Aafiyah pada Mac 2018.

Siti sebelum ini pernah mengalami keguguran pada November 2015.

Setelah itu, pada tahun 2017 Siti berkongsi berita gembira tentang kehamilannya selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk K. -Malaysiapost.