MESKIPUN tidak lagi menjadi Menteri Besar Johor, tiada yang mampu menafikan Datuk Hasni Mohammad dikenang sebagai arkitek kebangkitan Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) minggu lepas.
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, bukan calang-calang orang mampu memimpin BN dan UMNO negeri yang terdiri daripada ramai tokoh hebat serta dalam suasana politik mencabar.
“Kami yang berkempen semasa PRN menyaksikan secara dekat ketokohan dan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin di mata parti mahupun rakyat.
“Beliau terbukti berjaya mengemudi dan meletakkan Johor pada landasan yang baik walaupun mengharungi pelbagai rintang dalam usaha memacu proses pemulihan pasca Covid-19, sekali gus kembali membangunkan Johor di bawah pentadbiran BN,” katanya di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Shahril juga berkata, sikap Hasni kekal konsisten dengan gaya yang tenang menerima ketetapan di luar jangkaan beliau dan kepimpinan Umno, amat dikagumi.
“Mendukung kedaulatan Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sudah menjadi sebahagian DNA Umno apatah lagi di Johor Darul Ta’zim.
“Respon Datuk Hasni yang cukup santun dan terhormat sekali lagi menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat yang meletakkan kepentingan negeri dan parti mengatasi peribadi,” katanya.
Jelas Shahril, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut itu juga membuktikan apa yang beliau sering perkatakan sebelum ini.
“Seperti dalam ucapan beliau sejurus selepas kemenangan BN diumumkan, ‘tiada ideologi politik, tiada parti politik yang lebih penting dari Johor Darul Ta’zim’.
“Dalam tindakan beliau mutakhir ini, ternyata Datuk Hasni seorang yang menjiwai semangat kata-kata ini.
“Semoga ketokohan dan kepemimpinan Dato’ Hasni dapat terus dimanfaatkan pada pentas politik negeri dan negara selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Shahril juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana dilantik sebagai Menteri Besar Johor Ke-19.
“Sebagai pemimpin muda, tentunya harapan tinggi diletakkan atas bahu beliau untuk meneruskan kegemilangan negeri Johor.
“Mengenali beliau sebelum ini, saya yakin Datuk Onn Hafiz akan dapat menggalas amanah ini dan membuktikan bahawa beliau juga mampu menghadapi cabaran yang mendatang dengan gaya tersendiri ke arah matlamat sama, iaitu mengotakan Ikhtiar BN Johor demi kestabilan masa depan,” katanya. -Malaysiapost

