DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau akan dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang baharu.
Penafian itu dilakukan Ahmad Zahid menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini yang berkata, beliau tidak mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bolasepak ketika ini.
“Saya tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bolasepak biarpun pernah menjadi Presiden PAFA (Perak).
“Saya juga pernah terlibat menjulangkan nama pasukan bolasepak ATM & PDRM sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.
“Justeru, saya menafikan laporan media tertentu saya adalah calon baharu Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan, fokus utamanya ketika ini ialah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi gabungan itu dan Presiden Umno sebaik mungkin.
“Melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk menggembalikan kegemilangan Umno dan BN dalam persada politik tanah air.
“Menunaikan secara bersungguh-sungguh kewajipan untuk memastikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan dikembalikan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal sukan melaporkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan dilantik sebagai Presiden KLFA yang baru mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Khalid Abdul Samad. – Malaysiapost

