Kes SRC dihadapi Najib boleh diulang bicara – Peguam

0
1
najib razak

MAHKAMAH Persekutuan boleh membatalkan keputusan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan memerintahkan ulang bicara.

Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata perkara itu boleh berlaku sekiranya Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa terdapat ciri-ciri yang menyebabkan wujud konflik membabitkan hakim perbicaraan kes berkenaan.

Menurutnya, semalam masyarakat umum digemparkan dengan pendedahan dalam kes sambung bicara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apabila pihak peguam Najib telah menampilkan dan merujuk kepada dokumen Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Maybank.

Dokumen itu menunjukkan, di mana Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Hakim Bicara Kes SRC) merupakan Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan Maybank, berkaitan kemudahan pinjaman Maybank kepada 1MDB, ibu syarikat SRC pada ketika itu, berhubung jumlah RM6.17 bilion dalam pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd oleh 1MDB.

“Jadi isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan ada kemungkinan bahawa perbincangan dalam Lembaga Pengarah tersebut melibatkan satu pendapat berkaitan cara urus tadbir syarikat 1MDB yang terdedah kepada Maybank.

“Jika ada penemuan atau pendapat oleh Lembaga Pengarah terbabit berkaitan tadbir urus yang diberikan pada 2012 itu yang pada masa itu SRC adalah anak syarikat 1MDB.

“Maka mereka mengatakan Nazlan sewajibnya tidak menjadi hakim perbicaraan untuk kes SRC kerana jika ada pendapat atau tadbir urus dibuat pada masa itu ianya mungkin menjejaskan keneutralan mana-mana hakim ndalam mendengar kes SRC,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsikan dilaman di Facebooknya.

Menurutnya, sememangnya dari segi asas perundangan dan kehakiman terdapat prinsip yang mengatakan bahawa mana-mana hakim jika terlibat dalam apa-apa bentuk sekali pun berkaitan subjek perkara yang perlu diadilinya maka dia tidak wajar mengendalikannya.

Beliau berkata, sekiranya keputusan dibuat Mohd Nazlan sebelum ini diketepikan dan kes berkenaan diulang bicara, maka kesemua masa keemasan kehakiman yang digunakan akan menjadi sia-sia.

“Untuk perbicaraan dari tahun 2018 sehingga tamat pada 2020 di Mahkamah Tinggi dan semua tempoh perbicaraan lebih 15 hari serta hujahan-hujahan bertulis di Mahkamah Rayuan menjadi sia-sia dengan adanya ulang bicara.

“Saya tidak ingin mendahului mahkamah tetapi saya menjawab kerisauan masyarakat mengenai isu ini dan menjadi tanggungjawab saya untuk membangkitkan perkara ini tanpa mengambil pihak,” katanya.

Sementara itu peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang media di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini memaklumkan anak guamnya mahu perbicaraan semula kes SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baru berkaitan konflik kepentingan dalam kes berkenaan yang dikaitkan dengan Hakim Mohd Nazlan.

Hakim Nazlan pada 28 Julai 2021 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here