KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir mengakui PKR memerlukan bekas Naib Presidennya, Rafizi Ramli untuk mengembalikan kekuatan parti itu.
Perkara itu diluahkan Akmal susulan prestasi buruk PKR dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk yang terbaharu di Johor, Sabtu lalu.
Akmal berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai gandingan terkuat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
“Keadilan tidak boleh ‘defensive’ dan mengharapkan keajaiban akan berlaku pada PRU akan datang untuk peratusan keluar mengundi meningkat seperti tahun 2018.
“Kesungguhan Presiden berkempen tidak ada tolok bandingnya, namun beliau perlu ada gandingan terkuatnya.
“Selama ini saya cuba menjawab dengan penuh berhemah, tetapi biarlah kali ini saya berterus-terang. PKR tidak boleh selindung lagi. PKR perlukan Rafizi Ramli untuk bersama,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, PKR perlu menjadi mengembalikan kekuatannya sekali gus menjadi parti harapan rakyat.
Justeru, katanya, PKR juga perlu terkehadapan memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan orang ramai.
“Saya terlibat membantu PKR dalam beberapa siri PRN kebelakangan ini. Terbaru adalah PRN Johor yang selesai pada 12 Mac 2022.
“Namun keputusan pilihanraya buat PKR mahupun Pakatan Harapan adalah tidak membanggakan.
“Undi popular Barisan Nasional (BN) pula sekitar 43.11%, bermaksud majoriti pengundi Johor tidakpun menyokong BN.
“Namun, undian Harapan pada tahap 29.87%, sungguhpun sebagai pencabar terkuat kepada BN, masih jauh untuk menyaingi apatah lagi dengan sokongan yang lari ke Perikatan Nasional 24.04%,” katanya.
Jelasnya, pelanggaran di DUN Larkin oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) amat dikesali, namun tindakan PKR untuk tidak ‘react’ menunjukkan kematangan bagi mengelakkan pertembungan di kawasan lain.
“Sekiranya berlaku, ianya akan merugikan gabungan Harapan sendiri. Biarlah episod ini mengajar untuk kita hormat gabungan yang dibentuk.
“Diakui masih banyak ruang yang boleh ditambah baik, tetapi saya cenderung melihat kepada isu yang lebih fundamental. Clearly, something is missing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui kelesuan yang berlaku seperti peratusan keluar mengundi yang rendah, kesengsaraan ekonomi dan sekatan sempadan Singapura menjadi antara penyumbang kekalahan parti itu.
Dalam PRN Johor Sabtu lalu, PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri hanya menang satu kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.
Kerusi itu disumbangkan melalui Arthur Chong Sen Sern, yang memenangi di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi. – Malaysiapost

