KETUA Bahagian Umno Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad meluahkan rasa kecewa dengan kemelut pelantikan Menteri Besar Johor, terutama apabila Pengerusi Umno negeri, Datuk Hasni Mohammad, tidak kembali menjawat jawatan itu.
Susulan itu, Shahrir berkata, beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini kerana berasa malu.
“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam. Tadi (semalam), adanya kenyataan media oleh Datuk Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus. Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor.
“Malu saya. Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar. Umno sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai Menteri Besar.
“Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa. Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ini,” katanya menerusi Facebook.
Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh dapat mandat rakyat, tetapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan.
“Taklah sehebat mana Umno Johor. Patut saya juga jurucakap Umno Johor di PAU kali ini. Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian Umno dari negeri Johor, tak adalah saya nak cakap apa-apa pun.
“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Hasni,” katanya.
Semalam, Hasni dalam satu kenyataan telah meminta agar orang muda diberi laluan untuk memimpin Kerajaan Negeri Johor.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut itu berkata, cadangan itu berlandaskan faktor sokongan dan kedudukan anak muda yang penting dalam pembangunan Johor.
Terdahulu, terdapat tiga nama dikatakan yang telah disenarai pendek sebagai calon menteri besar iaitu Hasni, Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (ADUN Rengit).- Malaysiapost

