KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendengar pandangan dan cadangan penambahbaikan halatuju Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (RUU AGS) 2021.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ketika ini kementerian sedang giat melaksanakan proses libat urus dengan pelbagai pihak melalui pelbagai medium termasuk ahli parlimen wanita.
Beliau berkata, proses libat urus itu dibuat bertujuan untuk memastikan rang undang-undang yang akan dibentangkan mendapat mandat penuh selain memastikan ia mampu dilaksanakan secara holistik.
“Petang ini saya berkesempatan bertemu dengan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti AWL, Young Women Making Change, WAO, AWAM dan Engender.
“Ia untuk mendengar pandangan dan cadangan penambahbaikan halatuju RUU AGS 2021 yang akan dibawa bagi bacaan kali kedua dalam sidang parlimen penggal ini.
“Saya berterima kasih kepada NGO yang hadir kerana begitu prihatin selain memberi sokongan padu kepada Kementerian untuk memastikan penghasilan RUU AGS ini mencapai matlamat sebenar.
“Serta dipastikan RUU ini satu bentuk undang-undang yang komprehensif dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, antara pandangan yang diterima adalah RUU AGS berkenaan memerlukan lebih banyak konsultasi dan penambahbaikan selain mereka sanggup berkompromi untuk bacaan kali kedua untuk dilewatkan.
Sementara itu, Rina menyeru kepada orang ramai yang belum berkesempatan meneliti RUU AGS berkenaan agar memberikan pandangan dan saranan penambahbaikan melalui soal selidik RUU AGS 2021 di https://www.kpwkm.gov.my/ruu/.
“Sama-sama kita ambil peduli dalam penggubalan Akta ini. Pandangan anda amat berharga demi kebaikan bersama,” katanya. – Malaysiapost

