BEKAS Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memaklumkan dirinya akan menyerahkan kesemua elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen kepada parti itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan berkata, keputusan itu dibuat sebagai memenuhi bai’ah ketika bertanding dalam pilihan raya yang lalu sebagai calon PAS.
“Saya akan serahkan semua elaun bulanan sebagai ahli parlimen pada waktu berbaki sehingga PRU-15 sebagai memenuhi bai’ah yang dibuat ketika bertanding dalam pilihan raya.
“Saya mendoakan PAS terus maju jaya sebagai parti yang membawa ideologi Islam dan sebagai Muslim saya akan terus memperjuangkan dasar PAS iaitu Islam, seruan PAS iaitu Allahuakbar dan tujuan serta usaha PAS seperti yang termaktub dalam perlembagaan PAS yang semuanya selaras dengan kehendak Islam,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada keputusan itu berkaitan dengan kritikannya terhadap PAS sebelum ini, Khairuddin menegaskan ia adalah sebahagian tugas sebagai ahli parti dan rakyat Malaysia.
“Itu sebahagian tugas sebagai ahli parti dan tugas saya sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberikan pandangan berdasarkan hadis nabi, bahawa agama itu adalah nasihat.
“Maka saya akan terus memberikan nasihat-nasihat saya kepada parti politik di Malaysia termasuk PAS dan apa sahaja ketidakselarasan daripada sudut peraturan yang berjalan saya akan tegur,” katanya.
Terdahulu, dalam sidang media hari ini, Khairuddin mengumumkan keluar daripada PAS. – Malaysiapost

