Bagaikan sudah mati rasa – Asyraf Wajdi

0
1

BAGAIKAN sudah mati rasa dan tidak mahu memahami tuntutan rakyat, luah Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau kecewa dengan jawapan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai pengeluaran kali terakhir simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Menurutnya, Menteri Kewangan terbabit masih mengulangi hujah yang sama untuk menafikan pengeluaran KWSP.

“Bagaikan sudah mati rasa dan tidak mahu memahami kesulitan, kesusahan dan keperitan rakyat yang mahu memulakan kehidupan pasca pandemik ketika ini.

“Saya tidak merasakan semua 6.3 juta rakyat akan mengeluarkan wang simpanan mereka sehingga memberikan implikasi RM63 bilion,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, jika dilihat trend pengeluaran i-Citra sebelum ini hanya membabitkan RM21 bilion dan beliau yakin pengeluaran kali terakhir tidak sampai RM63 bilion seperti dianggarkan oleh Tengku Zafrul.

“Saya menjangkakan jika kerajaan membenarkan i-Citra Plus buat kali terakhir, berkemungkinan hanya sekitar RM20 bilion sahaja atau lebih rendah berbanding i-Citra terdahulu.

“Bermakna hanya dua peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang berjumlah RM1 trilion. Jadi kenapa susah sangat nak memenuhi tuntutan rakyat yang amat memerlukan ketika ini?” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam jawapannya di Dewan Rakyat berkata, jika kerajaan membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sebanyak RM10,000, ia berkemungkinan melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah sekurang-kurangnya RM63 bilion.

Menurutnya, sekiranya ia berlaku KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih dari nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dengan dalam keadaan pasaran tidak menentu termasuk krisis Rusia – Ukraine yang berlaku ketika ini.

Katanya, KWSP juga terpaksa menghentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana yang sekaligus memberi impak negatif kepada pasaran saham dan juga bon tempatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here