2 soalan untuk Tengku Zafrul – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memberikan jawapan berserta bukti mengenai dakwaannya berhubung isu pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata jawapannya adalah dalam bentuk bertulis dan akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,

“Saya tengah siapkan jawapan bertulis bersama bukti untuk diserah kepada Speaker parlimen esok (bertulis, mereka tak mahu saya bahas),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Najib menyuarakan dua soalan kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung jawapan yang diberikan mengenai isu berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa kerajaan perlu menampung bayaran hutang 1MDB sebanyak RM17 bilion walaupun selepas dana penyelesaian serta baki jaminan pemulihan aset yang bakal diterima.

“Soalan 1: Apa terjadi kepada perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi di mana IPIC bersetuju membayar balik semua dana yang didakwa hilang dari 1MDB setelah dihantar atau dijamin oleh mereka sebelum 30 Disember 2020?

“Sekiranya perjanjian itu terus dibatalkan sebagaimana dilakukan kerajaan PH dahulu, kita masih boleh mendapat bayaran sekurang-kurangnya USD3.5 bilion (RM15 bilion) dari IPIC sebab bon 1MDB sebanyak USD3.5 bilion dijamin oleh IPIC. Jika 1MDB tak bayar maka IPIC akan bayar,” soalnya.

Menurutnya, soalan kedua adalah adakah kesemua aset-aset 1MDB seperti tanah di Pulau Pinang (RM2.7 bilion), tanah Pulau Indah (RM300 juta), projek TRX (GDV RM40b) dan projek Bandar Malaysia (GDV RM140b) tidak bernilai satu sen.

“Atau tidak memperolehi hasil pendapatan satu sen pun sejak projek bermula hingga tahun 2039?

“Kan minggu lepas kamu merasmikan Ibu pejabat ASEAN bank HSBC yang melabur USD250 juta di TRX yang sudah mula sesak dengan bangunan-bangunan baharu?” soalnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here