Isteri hadiah Lamborghini kepada suami, ganjaran jaga dalam pantang

0
2

SEORANG bakal ibu dan juga usahawan membuat kejutan kepada suaminya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah Lamborghini.

Hadiah itu diberikan sebagai ‘ganjaran’ kepada suami, Ahmad Weldan Zulkefli, 20, bagi menjaganya ketika pantang.

Menerusi video di Aplikasi TikTok, wanita itu dikenali Anes Ayuni Osman berkongsikan detik kejutan buat suaminya.

Katanya, hadiah diberikan menerusi satu kejutan di sebuah pusat jualan kereta di Kuala Lumpur pada petang Jumaat lalu.

Anes, 19 yang bakal melahirkan bayi sulung pada akhir bulan ini memberitahu, kereta Lamborghini model Huracan Evo warna turquoise yang dibeli khas buat suaminya itu bernilai RM2 juta.

“Alhamdulillah rezeki kami tak pernah putus sejak berkahwin. Suami pun menjaga saya dengan begitu baik terutama ketika kehamilan saya.

“Selain menghargai pengorbanan suami, hadiah Lamborghini ini kerana mahu dia sentiasa di sisi saya sepanjang tempoh berpantang,” katanya memetik laporan mStar.

Beliau yang lebih mesra disapa Ayuni mempunyai alasan mengapa hadiah yang merupakan kereta kegemaran suaminya diberikan lebih awal.

“Saya beri hadiah awal-awal sebab masa berpantang nanti tak boleh pergi jauh-jauh. Ikut perancangan, saya akan berpantang di rumah keluarga saya di Pasir Mas, Kelantan.

“Mengikut amalan berpantang yang sering dilakukan oleh keluarga saya di Kelantan, tempohnya sehingga 100 hari. Maka tiga bulanlah suami kena ikut saya ‘berkampung’ di rumah mak ayah saya,” katanya.

Sehubungan itu, Anes yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2021 lalu, berkata, beliau mengharapkan yang terbaik daripada suami untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.

“Saya jangkakan suami bukan sekadar sentiasa bersama saya, tapi dia kena jaga baby siang dan malam. Sebabnya saya kemungkinan akan bersalin secara ‘czer’.

“Ibu-ibu pasti tahu sakitnya selepas bersalin ‘czer’. Jadi, saya mahu lebih perhatian daripada suami,” katanya.

Anes yang mengusahakan bisnes kosmetik menambah, selain menjaga bayi sepanjang tempoh berpantang, beliau turut berharap suami akan mencuci lampin dan membersihkan najis serta kencing anak.

“Suami okay je nak bersihkan sebab selama ni dia juga selalu buat perkara sama pada kucing peliharaan kami. Suami juga boleh berjaga waktu malam sebab otak bisnes suami lebih ligat waktu malam buat kerja marketing.

“Suami pernah tak tidur sampai ke pagi. Dia cuma risau bila berjaga malam dan siang tidur, masa siang tu pula anak meragam. Kalau jadi macam tu, saya kena kejutkan suami untuk uruskan anak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here