DAP akan melakukan bedah siasat terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk kekalahan di empat kerusi yang ditandingi parti itu.
Setiausaha DAP Lim Guan Eng, berkata selain itu DAP juga akan mengkaji kelemahan termasuk ketidakbersamaan dalam menggunakan logo sama dalam PRN terbabit.
“DAP akan menjalankan ‘post-mortem’ untuk menilai dan melihat mengapa kita tidak berjaya di empat kerusi DUN terbabit.
“Sekiranya ada kelemahan kita akan berdepan dengannya termasuk isu mengapa kita tidak mengunakan logo bersama kerana kita sepatutnya harus menampilkan barisan yang bersatu padu,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Selain itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP juga akan mengkaji isu berhubung peratusan mengundi yang rendah, serta berazam mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita juga akan mengkaji mengapa peratusan undi begitu rendah dan akan mengambil langkah untuk memperbaiki komunikasi dan juga memberikan harapan kepada mereka (pengundi) supaya balik mengundi,” katanya.
Selain itu, Guan Eng berkata, DAP juga berjanji memberikan komitmen bahawa semua wakil rakyat DAP yang dipilih akan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pengundi.
“DAP mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi yang dapat memastikan DAP dapat mengekalkan 10 daripada 14 kerusi DUN dalam PRN Johor.
“Kami terhutang budi sekali lagi dan menghargai sokongan daripada pengundi termasuk di kerusi yang kita tidak berjaya,” katanya.
Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga, selepas keputusan penuh PRN Johor, diumumkan.
BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Sementara Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) 3; manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi. – Malaysiapost
Perkembangan itu dikongsikan dalam entri di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat jam 12.09 tengah malam ini.-Malaysiapost

