KWSP akan terjejas jika pengeluaran kali terakhir KWSP dibenarkan – Tengku Zafrul

0
1

JIKA kerajaan membenarkan pengeluaran kali terakhir simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, ia berkemungkinan melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah sekurang-kurangnya RM63 bilion.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sekiranya ia berlaku KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih dari nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dengan dalam keadaan pasaran tidak menentu termasuk krisis Rusia – Ukraine yang berlaku ketika ini.

“KWSP juga terpaksa menghentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana.

“Langkah ini akan terus memberi impak negatif kepada pasaran saham dan juga bon tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab persoalan dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen sepanjang membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya secara keseluruhan di bawah ketiga-tiga pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini, KWSP telah memberi akses kepada dana persaraan mereka sehingga RM71,000 bagi setiap pencarum.

“Pengeluaran khas ini telah memanfaatkan 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada jumlah ahli dengan amaun berjumlah RM101 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, walaupun inisiatif itu telah meringankan beban ahli yang memerlukan, namun pengeluaran khas itu telah mengakibatkan pengurangan simpanan persaraan yang ketara.

Menurutnya, susulan pengeluaran RM101 bilion seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus daripada ahli dibawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000.

“Sebelum ini saya tidak pernah sebut, tetapi tanpa pengeluaran-pengeluaran tersebut kadar dividen bagi simpanan konvensional yang diumumkan KWSP bagi tahun 2021 sepatutnya boleh mencecah sehingga 6.7 peratus berbanding dengan 6.1 peratus yang diumumkan baru-baru ini.

“Ini bermakna RM5.4 bilion dari segi dividen tambahan boleh diagihkan kepada semua ahli KWSP jika pengeluaran sebelum ini tidak dibuat.

“Kehilangan RM5.4 bilion dari dividen ini telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan simpanan mereka melalui mana-mana skim pengeluaran sebelum ini terpaksa menerima pulangan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, antara kesan buruk yang belum pernah disebut sebelum ini adalah berlaku kepada pasaran bon tempatan ini termasuklah kadar faedah sekuriti kerajaan Malaysia atau MGS yang telah meningkat dalam kadar purata 100 mata asas.

“Kita juga perlu sedar bahawa KWSP ini sebagai pemegang tunggal terbesar MGS dengan pegangan berjumlah RM240 bilion. Ini 57 peratus daripada nilai keseluruhan dalam pasaran bon MGS.

“Bagi syarikat tersenarai di pasaran saham pegangan KWSP kira-kira 16 peratus, ini RM272 bilion dari nilai keseluruhan berjumlah lebih RM1.7 trilion. Bagi pelaburan bon-bon korporat pegangan KWSP adalah 21 peratus iaitu RM166 bilion,” katanya.

Menurutnya, apabila kedudukan KWSP terjejas, ada dua perkara lain akan turut terjejas iaitu kebolehan KWSP untuk menjana pulangan dividen kepada ahli dan peranannya dalam menyediakan kecairan modal bagi pasaran bon tempatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here