Shuib terharu nama Siti Sarah diabadikan pada dewan Baitul Sakinah

0
3

PELAKON dan pelawak, Shuib meluahkan rasa terharu kerana hasrat arwah isterinya untuk menyiapkan sebuah dewan serbaguna buat anak-anak yatim dan penduduk di sekitar Baitul Sakinah As-Shariff akhirnya termakbul.

Menurut Shuib, arwah isterinya pernah memberitahu ingin melihat dewan serba guna siap sebagai kemudahan khusus untuk anak yatim di tempat tersebut dan penduduk sekitar.

Katanya, dia terharu apabila nama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin diletakkan dengan gabungan dua lagi nama iaitu ‘Musolla dan Dewan Serbaguna Sarah Muslim Al-Attas’.

“Arwah nak sangat musolla dan dewan ni siap sebab dewan ni selain dari anak yatim dekat sini guna, orang kampung yang duduk berhampiran pun boleh guna.

“Allah Maha segalanya. Hari ni bila ianya sudah pon siap arwah dah pun pergi untuk selamanya,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Mengimbau kali pertama melawat ke Baitul Sakinah As-Shariff bersama Siti Sarah, dia berkata arwah terlalu seronok bertemu dengan anak-anak yatim di situ.

“Tempat cantik, besar dan bersih. Arwah terlalu seronok jumpa anak-anak dekat sini. Kemudian diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan Musolla dan Dewan Serbaguna yang masa tu dalam 70 peratus pembuatan,” katanya.

Hantaran itu dibanjiri dengan komen peminat yang mendoakan Allahyarham Siti Sarah dan terharu dengan kebaikan yang dilakukan arwah semasa hayatnya.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang kini berusia enam bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here