PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek telah diambil kira dan pihak berkaitan sudah bersedia.
Beliau berkata, setiap keputusan perlu dibincangkan dalam parti dan mengadakan PRU setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sedia atau tidak, biar kepemimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan.
“Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa desakan meminta PRU diadakan segera selepas mengambil kira kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.
Keputusan PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Mengulas kemenangan BN pada PRN Johor, beliau yakin ianya tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti berbeza.
Ismail Sabri berkata, walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, beliau optimis semua anggotanya profesional dan dapat bekerjasama dengan baik.
“Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara. Kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti.
“Waktu PRN Melaka pun kami bertembung dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya. – Malaysiapost

