KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, membuktikan Pilihan Raya Umum (PRU) wajar dilaksanakan dengan segera.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PRU penting untuk mencerminkan kehendak sebenar mandat rakyat.
“Suara kuat rakyat berdasarkan mandat kemenangan PRN Johor menunjukkan rakyat mahu perubahan yang lebih baik untuk negara.
“Maka, kemenangan besar ini (PRN Johor) jelas menunjukkan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu disegerakan agar benar-benar mencerminkan mandat rakyat sebenar,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan BN itu juga membuktikan rakyat sudah mulai sedar bahawa hanya parti tersebut yang boleh mentadbir negara dengan lebih baik berdasarkan pengalaman dan rekod parti tersebut.
Katanya, kemenangan BN dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) selain PRN Melaka, Sarawak dan semalam di Johor, merupakan petunjuk jelas parti itu adalah pilihan rakyat.
“Rakyat sudah mulai sedar bahawa hanya BN yang boleh mentadbir negara lebih baik berdasarkan pengalaman dan rekod BN.
“Walaupun BN bukanlah sempurna 100 peratus akan tetapi berbanding blok dan parti lain yang berpecah belah, tidak bersatu, tidak ada dasar yang jelas, BN mampu menawarkan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, hakikatnya semua pemimpin PH telah ‘self destruct’ dan sukar dibaiki selepas pemerintahan 22 bulan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Manifesto diperlekeh, pendakwaan terpilih dilakukan dan soal kebajikan rakyat diabaikan hingga rakyat bangkit dan sedar kesilapan mereka memangkah PH.
“Kini rakyat lebih yakin bersama BN atas dasar kestabilan dan bukan berdasarkan politik fitnah, memburuk-burukkan lawan dengan kata nista seperti ‘itik patah kaki’ dan sebagainya untuk dapat populariti murahan,” katanya.
Beliau berkata, politik amal dan politik bakti ialah senjata ampuh BN dalam mengharungi PRN Johor.
“Suara kuat rakyat berdasarkan mandat kemenangan PRN Johor menunjukkan rakyat mahu perubahan yang lebih baik untuk negara,” katanya.
Semalam, BN meraih kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRN Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh di negeri itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan keputusan rasmi berkata, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. – Malaysiapost

