SELEPAS empat jam pusat mengundi dibuka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan statistik keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebanyak 29 peratus.
SPR menerusi Facebook, memaklumkan data peratusan keluar mengundi bagi PRN Johor itu adalah sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Data itu, sekali gus menunjukkan peratusan keluar mengundi agak rendah.
Terdahulu, media melaporkan kebanyakkan pengundi mengambil peluang membuang undi pada sebelah pagi, bagi mengelakkan kesesakan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.
Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.
Hari ini rakyat Johor mengundi sempena PRN Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu, menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi membuka pintu bermula jam 8 pagi tadi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka. – Malaysiapost

