Suspek kes rompak, tembak pengawal keselamatan direman seminggu

0
4

SEORANG lelaki yang ditahan selepas disyaki menembak mati pengawal keselamatan dalam rompakan di hadapan sebuah bank di Puchong Prima, semalam direman seminggu, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata perintah reman suspek berusia 38 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Lebih Berat 1971.

Suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini untuk mendapat perintah tahanan reman.

“Kita polis percaya dengan tertangkapnya suspek akan dapat menyelesaikan beberapa kes lain di Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 5.50 petang semalam, seorang pengawal keselamatan maut, manakala rakannya cedera ditembak berhampiran sebuah bank di Puchong Prima dalam satu rompakan.

Kedua-dua pengawal keselamatan berkenaan dipercayai sedang mengawal van keselamatan yang membawa sejumlah wang tunai.

Bagaimanapun, selepas sejam melarikan karung wang, suspek kes itu berjaya ditahan di Seksyen 24, Shah Alam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here