KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu infografik palsu yang tular di media sosial memaklumkan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Dos Ke-4 (PICK4).
KKM dalam satu kenyataan menafikan pernah menggeluarkan infografik berkenaan.
“Infografik yang tular ini adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KKM,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, bagi memastikan fasa peralihan ke endemik yang akan bermula pada 1 April 2022 nanti dilaksanakan dengan selamat, fokus paling utama adalah memupuk kesedaran komuniti ataupun solidariti komuniti serta tanggungjawab individu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meluaskan capaian program vaksinasi sedia ada.
“Bagaimanapun, seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan pada 24 Februari 2022, penerima vaksin lengkap jenis Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap semua jenis perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.
“Tempoh masa yang ditetapkan telah dilanjurkan sehingga 31 Mac 2022,” katanya.
Bermula 1 April 2022, status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak.
Terdahulu KKM turut memaklumkan mengesan terdapat satu group di Facebook yang memakai nama Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk makluman semua, saluran media sosial rasmi KKM adalah seperti berikut:
Facebook – https://m.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia
Twitter – https://twitter.com/kkmputrajaya
Instagram – https://www.instagram.com/kementeriankesihatanmalaysia
YouTube – https://m.youtube.com/c/kementeriankesihatanmalaysia
TikTok – https://www.tiktok.com/@kkmputrajaya
Telegram – https://t.me/MOHMalaysia – Malaysiapost

