SEORANG pengawal keselamatan maut, manakala rakan sekerjanya cedera akibat ditembak berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, Selangor petang tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata siasatan awal mendapati kedua pengawal keselamatan berkenaan dipercayai sedang mengawal van keselamatan yang membawa sejumlah wang tunai.

“Bagaimanapun, suspek yang menembak kedua mangsa berjaya meloloskan diri,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan sama ada kedua-dua mangsa hendak mengambil wang dari bank atau mengeluarkan wang dari van untuk dibawa ke bank berkenaan.

Beberapa video dan gambar berhubung kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan seorang pengawal keselamatan bersama selaras senapang patah terbaring berlumuran darah di atas jalan raya di hadapan bank berkenaan. – Malaysiapost

