4 ditahan bantu siasatan kehilangan Eric

0
1

POLIS menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Eric Chang Wei Jie, berusia empat tahun di sebuah taman perumahan di Jalan Daya, Bintawa, Kuching, Sarawak sejak 7 Mac lalu.

Keempat-empat individu yang ditahan berkenaan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 24 hingga 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata susulan laporan polis yang diterima mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit pihaknya membuka dua kertas siasatan.

“Satu kertas siasatan orang hilang dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu siasatan terhadap aspek kecuaian dan pengabaian terhadap penjaga kanak-kanak terbabit.

“Dalam kes ini polis telah membuat empat tangkapan iaitu dua lelaki dan dua wanita tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersil.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek adalah positif dadah jenis syabu dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman dan soal siasat lanjut akan diteruskan sepanjang tempoh itu,” katanya.

Menurutnya, dalam masa yang sama polis juga telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha pencarian kanak-kanak terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak tersebut diminta menyalurkannya di balai-balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210,” katanya.

Malaysiapost kelmarin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan hilang sejak Isnin lalu di Taman Riverview, Kuching, Sarawak.

Kehilangan Eric Chang Wei Jie dimaklumkan melalui hebahan Nur Alert dan dikongsi menerusi platform media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk laman Facebook rasminya PDRM.

Laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak terbabit dibuat pada jam 7.42 malam Isnin lalu.

Kanak-kanak terbabit mempunyai anggaran tinggi lebih kurang 100 sentimeter (cm) berbadan kurus, berkulit kuning langsat dan rambut pendek/lurus.

Pakaian terakhir sebelum hilang adalah t-shirt kolar bulat warna biru gelap dan berseluar pendek paras lutut warna hitam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here