PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berharap syarikat korporat menetapkan gaji minimum RM1,500 seperti diumumkannya bagi pekerja tetap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), hari ini.
Menurutnya, kerajaan prihatin atas cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat dan dalam konteks itu, kerajaan telahpun memastikan semua penjawat awam menerima jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.
Beliau berkata, tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah.
“Semasa Hari Terbuka GLC 2022, saya telah mengumumkan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja tetap GLC da GLIC dengan harapan syarikat korporat lain meneladani usaha ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ismail Sabri menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, GLC tersenarai juga hendaklah mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023.
“GLC dan GLIC amat penting kepada pembangunan negara, disarankan mempunyai sasaran jangka masa sederhana dan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050 dalam merealisasikan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Menurutnya, GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia selain memberi pekerjaan kepada setengah juta Keluarga Malaysia, dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.
“Sumbangan GLC dan GLIC juga penting dalam membantu kerajaan untuk pengurusan bencana melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana (GDRN).
“Di mana telah membantu 450,000 mangsa wabak Covid-19 serta mangsa banjir dengan bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan Kerajaan melebihi RM55 juta,” katanya. – Malaysiapost

