Bangsa Johor sudah tahu siapa akan diundi esok

0
2

Najamuddin Mohd Nor

ESOK adalah hari mengundi bagi Bangsa Johor yang akan menentukan parti manakah yang layak menerajui Johor Darul Ta’zim. 

Pastinya 2. 57 juta pengundi sudah mempunyai jawapan dalam menentukan wakil rakyat mana menjadi pilihan hati sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula sebaik selesai proses penamaan calon pada 26 Februari lalu. 

Kempen PRN Johor kali ini berlangsung dalam suasana harmoni ditambah pula aktiviti agak terbatas berikutan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19  yang ketat dikenakan ketika berkempen. 

Tiada lagi ceramah mega setiap malam, tiada lagi rombongan yang ramai mengikut calon berkempen di tempat-tempat awam seperti pasar malam, pasar awam, taman permainan mahu pun kunjungan rumah ke rumah. 

Pendek kata, semua parti bertanding terpaksa menukar strategi kempen yang sesuai dengan norma baharu ini. 

Bagaimanapun, sepanjang dua minggu penulis berada di Johor, slogan Barisan Nasional (BN) ‘Kestabilan Masa Depan’ paling kuat didengari dan mudah melekat di minda rakyat Johor. 

Hasil pemerhatian penulis dari Pagoh hingga ke Johor Bahru, rata-rata Bangsa Johor yang ditemui mahukan kestabilan politik dan ekonomi bagi memastikan ekonomi rakyat kembali rancak seperti sebelum pandemik Covid-19.

Isu ‘mahu senang cari makan’ antara yang diluahkan rakyat terutamanya golongan peniaga. 

Bagi golongan peniaga yang melibatkan ramai kaum Tionghua, mereka berharap kestabilan kerajaan yang dibentuk nanti dapat memberi tumpuan untuk merancakkan semula ekonomi Johor yang amat terkesan berikutan larangan merentasi sempadan Singapura-Malaysia ketika ini.

Selain itu, golongan muda rata-ratanya membangkitkan isu peluang pekerjaan, rumah mampu beli dan kemudahan jalur lebar yang baik di seluruh Johor. 

Sedar tak sedar, semua isu berbangkit itu berkaitan dengan ekonomi rakyat yang mahu bangkit segera setelah dua tahun sengsara kerana pandemik Covid-19.

Pada masa sama, kempen parti lain pula lebih menekankan ‘kisah silam’ individu-individu tertentu yang tidak pun bertanding sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini. 

Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), PKR, Pejuang, MUDA dan Warisan rata-rata meletakkan ‘priority’ membangkitkan isu-isu ‘kluster mahkamah’ para pemimpin BN dahulu. 

Setiap hari dalam tempoh berkempen ini ada sahaja ‘serangan’ terhadap pemimpin BN terutamanya kepada bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Malah kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa cara penekanan Islam yang lemah di Johor sehingga PAS sukar diterima oleh masyarakat negeri itu telah mengguris hati orang Melayu di sini. 

Apa pun esok adalah hari kepada rakyat Johor untuk menentukan perjalanan negeri selama lima tahun lagi. 

Pemerhatian penulis, Bangsa Johor sudah tahu siapa pilihan terbaik mereka dan hanya menunggu masa sahaja untuk mengundi. 

Apa yang dapat dirumuskan, BN umpama skuad JDT setiap kali melangkah ke final, kemenangan telah dapat diduga, namun strategi tepat dan mood baik pemain dalam perlawanan akhir yang akan menentukan kemenangan mereka. 

Namun jika kena pada strategi dan usaha keras berterusan pihak lawan, JDT juga boleh dikalahkan seperti dilakukan Kuala Lumpur City pada final Piala Malaysia tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here