SEMAKAN kemasukan ke Sekolah Khusus Tahun 2022 bagi murid baharu Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat boleh dibuat mulai 15 Mac ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, ibu bapa atau penjaga bagi murid yang telah menduduki Penilaian Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tahun 2022 boleh membuat semakan tawaran melalui pautan yang dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“KPM akan mengumumkan keputusan tawaran tersebut pada 15 Mac 2022. Jadi, ibu bapa dan juga anak-anak boleh membuat semakan tawaran melalui pautan yang dimaklumkan oleh KPM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, KPM dalam satu kenyataan berhubung perkara itu memaklumkan semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatkan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatkan Empat serta Tahun Satu Sekolah Vokasional Malaysia (SVM).
Menurut KPM, bagi yang tidak berjaya tarikh rayuan secara dalam talian adalah bermula 15 Mac hingga 29 Mac ini dan rayuan boleh dibuat melalui pautan yang sama.
“Tawaran kemasukan Sekolah Khusus ini membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) bawah Kementerian Pertahanan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
KPM menetapkan tarikh pendaftaran murid baharu ke Sekolah Khusus mengikut beberapa tarikh iaitu pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingakatan Satu dan Tingakatan Empat di SBP dan SMKA pada 21 Mac hingga 25 Mac ini.
“Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingakatan Empat di SBP dan SMKA pada 5 April 2022; manakala pendaftaran secara fizikal murid baharu Tingakatan Satu di SBP dan SMKA akan dimaklumkan kelak.
“Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingakatan Empat dan Tahun Satu SVM di SMT dan KV adalah pada 7 April ini dan pendaftaran bagi murid baharu Tingakatan Empat ke MTD pula akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my/,” katanya. – Malaysiapost

