PELAKON Datuk Aaron Aziz, meminta orang ramai berhenti mengulang siar dan membuat parodi berkenaan insiden wanita membuat kecoh di kedai serbaneka, 7-Eleven (7E) dan restoran makanan segera KFC, yang tular baru-baru ini.
Aaron, 46, berkata tindakan menyebar video wanita dikenali sebagai Kak Long itu perlu dihentikan kerana bimbang menjejaskan emosi anak lelakinya, yang turut ada dalam rakaman itu.
‘Assalamualaikum. Di sini saya minta jasa baik netizen semua untuk hentilah repost pasal Kak Long 7E tu. Dia pun dah minta maaf dan pasti menyesal.
“Kesian anak dia nanti nak pergi sekolah malu diejek ke apa,” kata Aaron dalam hantaran di Instagram hari ini.
Pelakon kelahiran Singapura itu turut memohon netizen tidak memanjangkan lagi isu Kak Long 7E dan berharap wanita itu sudah mendapat pengajaran.
“Kita doakan yang baik-baik sahaja ya. Cerita dah habis dah jadi biar keluarga mereka hidup dengan tenang. Saya pasti dia sudah dapat pengajaran,” katanya lagi.
Baru-baru ini, video wanita mengamuk di sebuah premis 7E di Terengganu mendapat kecaman netizen kerana melulu memarahi kakitangan kedai serbaneka itu kerana mendakwa menuduh anak lelakinya mencuri.
Video pertengkaran tersebut tular selepas wanita itumembuat siaran langsung (live) menerusi aplikasi TikTok miliknya. Bagaimanapun, dia tampil memohon maaf pada kakitangan 7E itu pada hari yang sama.
Tidak sampai 24 jam, tular pula video wanita yang sama membuat onar di KFC, memaki premis tersebut kerana mendakwa tidak menerima layanan yang baik daripada kakitangan premis itu. – Malaysiapost

