Umno berpegang semangat perkongsian kuasa dalam BN

0
2

KEPUTUSAN Umno bertanding 37 kerusi di Johor berbanding 42 yang dihasratkan parti itu, membuktikan ia berpegang kepada semangat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN).

“Kita berpegang kepada konsep kongsi kuasa ini, walaupun (Timbalan Presiden Umno) Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan Umno perlu bertanding 42 kerusi, itu hasrat kita.

“Kita cuba cadangkan (bertanding di 42 kerusi), kita cuba dapatkan tetapi akhirnya atas semangat BN (Umno bertanding 37 kerusi),” kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor menjelaskan, dalam soal pembahagian kerusi antara parti komponen BN, mereka cuba untuk mencari titik pertemuan yang dapat memperkukuh lagi usaha mencapai keputusan terbaik bagi memastikan parti memperolehi kemenangan.

“Ada yang menyatakan kenapa MCA perlu bertanding 15 kerusi Pada PRU14 dulu, 15 kerusi bertanding, kosong, tiada satu kerusi pun menang. Gerakan semasa jadi rakan dalam BN, dua kerusi bertanding, tiada satu kerusi pun menang.

“Jadi, kenapa harus kita kekalkan MCA bertanding 15 kerusi?,” katanya sambil menambah apabila persoalan sebegitu berbangkit, BN berbalik kepada konsep perkongsian kuasa yang menjadi pegangan gabungan itu sejak ditubuhkan.

Hasni berkata, oleh kerana persefahaman utuh antara parti komponen BN, hasrat parti untuk mengetengahkan 30 peratus calon wanita pada PRN Johor kali ini juga direalisasikan.

“Ada pihak melaungkan sahaja, hendak 30 peratus suara wanita, tapi calon wanita yang diketengahkan dua tiga kerat sahaja.

“Kita (BN) tidak bising tentang soal mengiktiraf suara dan peranan wanita, kita sediakan hampir 30 peratus yang menjadi calon wanita (BN pada PRN Johor).

“Insya-Allah, mereka akan menjadi sebahagian daripada pembuat dasar di negeri Johor ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here