Najib mahu debat dengan Muhyiddin, Azmin boleh turut serta

0
1

DATUK Seri Najib Razak sedia berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu FELDA, bukannya dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi hantaran di facebooknya, Najib berkata mana mungkin beliau menghancurkan FELDA sedangankan penubuhan tanah rancangan itu adalah idea ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Saya tiada masalah debat berkenaan Felda tetapi saya tak nak debat Azmin sahaja sebab saya bimbang di atas pentas saya tak nampak mukanya sebab kurang HD.

“Saya amat mengalu-alukan untuk debat boss dia Tan Sri Muhyiddin. Azmin boleh bantu dia jika dia semasa debat.

“Tiada masalah, seorang lawan dua orang mereka sebab fakta adalah fakta dan fakta serta kebenaran akhirnya akan menang,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, beliau juga akan memberi beberapa soalan bocor kepada Muhyiddin dan Mohamed Azmin.

“Nombor satu, adakah masalah terbesar FELDA masa saya jadi PM ialah lebih 50% daripada pokok sawit FELDA dalam kategori terlalu tua manakala ramai peneroka sudah mula lanjut usia tetapi generasi kedua dan ketiga kurang berminat untuk mengambil alih?

“Dan jika kita tidak menyelesaikan kedua-dua masalah besar ini dengan penyenarain FGV, FELDA mungkin tidak akan wujud lagi?,” katanya.

Perkara kedua, menurut Najib, adakah kerajaan BN dahulu amat bersedia untuk menyalurkan peruntukan dan dana bagi FELDA supaya kesejahteraan hidup peneroka sentiasa dijamin sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Manakala ketiga, katanya, adakah benar wujudnya “Put Option” dalam perjanjian pembelian syarikat sawit Indonesia Eagle High Plantations di mana FELDA berhak menuntut penjual untuk membayar balik harga penjualan asal bersama faedah 6% setahun supaya tidak akan rugi dalam pembelian ini?

“Nombor empat, dari mana lagi kita mampu cari kawasan sawit baharu dengan harga RM2,800 setiap ekar ataupun 6.5 sen setiap kaki persegi memandangkan syarikat Eagle High mempunyai jumlah keluasan tanah sebanyak 320,000 hektar?

“Nombor lima, kenapa kerajaan PN dahulu tidak memberi sebarang peruntukkan kepada FELDA untuk memansuhkan hutang tetapi memaksa FELDA meminjam hutang baharu sebanyak RM9.9 bilion lagi pada 2020?.

“Nombor enam, jika ia benar-benar pemansuhan atau pemaafan hutang, kenapa pula peneroka perlu menandatangani perjanjian dengan perlu menerima syarat samada untuk ladang mereka diuruskan FELDA atau perlu menjual hasil kita hanya kepada FELDA?,” katanya.

Kata Najib lagi, memandangkan Azmin dan kerajaan PH serta PN menjual berpuluh-puluh bilion aset negara yang dibina semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau lihat tiada masalah untuk kerajaan menyalurkan hasil penjualan aset tersebut sebagai peruntukan bagi fELDA – bukan memaksa FELDA menambah hutang RM9.9 bilion lagi.

“Ya, banyak lagi yang saya nak bongkarkan, nak bocorkan berhubung penipuan dalam ceramah Azmin Ali dan Muhyiddin pada setiap ceramah di kawasan FELDA mereka.

“Cukup-cukuplah menipu peneroka dan rakyat. Mari kita debat, Muhyiddin. Jangan bimbang. Azmin akan bantu kamu.

“Susah nak cam muka Azmin atas pentas sebab dalam video yang begitu jelas itu pun kononnya kerajaan dulu tak dapat cam. Kononnya tak HD. Tapi debat dengan Muhyiddin, saya okay.

“Jika Muhyiddin mahu debat, hutang 1MDB pun dia boleh tanya dan saya akan buktikan sekali lagi bahawa ia bukan dibayar wang Rakyat. On tak on?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here