BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang ‘pulang’ ke kawasan diwakilinya pada pilihan raya lalu meminta Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhenti menyalahkan dirinya.
Musa ketika berucap berkata, beliau sudah melawat 15 kawasan di Sabah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan melihat rakyat berkobar-kobar mahu menukar kerajaan pimpinan parti itu.
Katanya, apabila wabak Covid-19 menular ketika PRN berlangsung, beliau dipersalahkan sedangkan yang mahu kabinet dibubar dan PRN diadakan adalah Shafie.
“Di Johor, Melaka, Perak, Kedah, apabila kerajaan hilang majoriti, menteri besarnya letak jawatan sebab hilang majoriti.
“Di Sabah ini, Shafie Apdal bukan dia letak jawatan, dia minta PRN. Kami mempunyai majoriti untuk bentuk kerajaan negeri tapi tetap dibubar.
“Sekarang cuba tengok di kaca TV, di mana-mana dia (Shafie) berucap tidak lain tidak bukan menyalahkan saya saja. Ekonomi merundum salahkan saya, hujan kuat salahkan saya, banjir salahkan saya,” katanya pada Program Bersama Rakyat di Taman Cahaya di Sandakan, hari ini.
Musa berkata, tindakan Shafie menuding jari kepadanya dalam segala aspek dan menabur fitnah termasuk menuduhnya mengambil tanah rakyat hanyalah alasan kerana Shafie gagal mentadbir negeri.
Sepanjang lebih dua tahun pentadbiran Shafie, katanya, tiada apa yang dilakukan kerajaan negeri, sebaliknya lebih banyak ‘bercakap’.
“Dua tahun apa dia lakukan? Cakap, cakap, cakap, banyak bercakap kurang bekerja.
“Dulu kamu tahu saya selalu katakan kurangkan bercakap, banyakkan bekerja.
“Kita bina hab pendidikan, jalan raya, masjid, surau. Saya mahu tahu apa dia bawa ke Sungai Manila? Dalam manifesto dia cakap macam-macam, pembohong,” katanya.
Oleh itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga lima penggal itu mengingatkan rakyat agar tidak salah memilih pada PRN esok.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat negeri ini dengan banyak bantuan serta program dilaksanakan termasuk ketika Covid-19 melanda negara. -Malaysiapost

