Asyraf Wajdi minta PAS fokus PRN Sabah dahulu

0
2

KETUA Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan supaya bersabar dan fokus terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terlebih dahulu.

Beliau berkata demikian, mengulas kenyataan PAS yang memohon penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Asyraf berkata, Umno akan memberi penjelasan mengenai perkara itu minggu hadapan dalam mesyuarat Induk Muafakat Nasional (MN).

“Fokus PRN Sabah dahulu, minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk MN secara tertutup, pimpinan boleh dapatkan penjelasan atas semangat Musyawarah. 

“Sama-sama perlukan penjelasan termasuk kemasukan PAS sebagai komponen parti dalam Parti Perikatan Nasional,” katanya menerusi Twitter.

PAS hari ini meminta penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Muhyiddin.

Takiyuddin berkata, sekiranya keadaan itu benar, bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019.

Katanya, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

Kenyataan Takiyuddin menyusul selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membuat kenyataan itu pada Rabu, iaitu hari sama Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti kerusi yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati pendirian yang diambil oleh Ahli Parlimen daripada UMNO itu, manakala UMNO dan BN tidak boleh menghalang mereka daripada menyatakan sokongan kepada Anwar. -Malaysiapost

Foto Kredit: FB Datuk Dr Asyraf Wajdi