PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi menunaikan solat di masjid dan surau di Pulau Pinang ketika ini, akan turut diguna pakai untuk pelaksanaan solat sunat Tarawih pada Ramadan nanti.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata pihaknya turut membenarkan pelaksanaan solat sunat terawih secara berjemaah dengan bilangan lapan atau 20 rakaat, lapor Bernama.
“Tidak ada SOP khusus, sama ada solat sunat tarawih atau tidak, SOP sama. Namun keputusan untuk melaksanakan lapan atau 20 rakaat solat sunat itu, bergantung pada pengurusan masjid dan kapasiti ruang di masjid atau surau terbabit.
“Kita serahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk tentukan. Sekiranya keadaan di masjid atau surau, pengurusan dapat mengawal jemaah dan mengikut SOP, mereka boleh melaksanakan 20 rakaat.
“Bagaimanapun, sekiranya keadaan masjid sempit atau sukar untuk mengawal jemaah ramai, pengurusan perlu mengambil tindakan,” katanya.
Beliau yang juga yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 Peringkat Pulau Pinang di Taman Bandaraya, hari ini.
Mengenai aktiviti moreh, Ahmad Zakiyudin berkata, pengurusan masjid atau surau digalakkan untuk membungkus makanan terbabit dan memberikannya kepada jemaah, berbanding mengadakan majlis di kawasan masjid.
Katanya, majlis berbuka puasa di kawasan masjid atau surau sekiranya diadakan perlu mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dari segi jumlah kehadiran jemaah.
Tambahnya, penganjuran bazar Ramadan dibenarkan mengikut SOP sedia ada ditetapkan bagi penjaja di Pulau Pinang.
Semalam, media melaporkan Umat Islam di negara ini berkemungkinan digalakkan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah dengan bilangan hanya lapan rakaat berbanding 20 rakaat.
Perkara itu antara SOP dibayangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ekoran kekhuatiran penularan varian Omicron melibatkan jemaah ketika ini. – Malaysiapost

