Pembukaan semula sempadan, rakyat boleh pulang sambut Aidilfitri – PM

0
1

KERAJAAN dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laluan darat dan pembukaan semula sempadan dengan Brunei dan Thailand, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, cadangan pelaksanaan itu bagi melancarkan urusan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri pada Mei nanti.

“Ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Dataran Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, memaklumkan VTL ke Thailand dan Kemboja akan mula beroperasi bermula 15 Mac ini.

Ka Siong dalam kenyataan berkata, pengumuman itu susulan perbincangan yang membuahkan hasil bersama kedua-dua negara sebagai usaha ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Pengembara yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan. Laluan VTL baharu ini dijangka membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Syarikat penerbangan yang ditetapkan dari Malaysia-Thailand dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur – Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur – Phuket.

Selain itu, laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama oleh Malaysia-Thailand.

Manakala, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari Malaysia-Kemboja dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur – Phnom Penh, dan laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran.

Dalam masa sama, Ka Siong berkata, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here