HUBUNGAN antara parti dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan terjejas susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid kelmarin bahawa parti itu tidak dapat menghalang Ahli Parlimennya menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Ahmad Zahid hanya mengeluarkan kenyataan dalam konteks peribadi beliau.
“Parti boleh beritahu kepada Ahli Parlimen untuk patuh tetapi kalau individu itu mahu buat keputusan, itu hak masing-masing.
“Ini yang berlaku kalau kita tengok pelbagai parti yang ada. Jadi, dalam konteks ini, hubungan dalam MN tidak terjejas,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Ops Gempur Selangor 2020 di Kawasan Perindustrian Bangi, Selangor, hari ini.
Rabu lalu, Ahmad Zahid berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar yang terdahulu mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan, ramai Ahli Parlimen UMNO serta BN yang menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang itu.
Mengulas lanjut tindakan Anwar, Tuan Ibrahim menyifatkan ia sebagai ‘sindrom September’, yang mana perkara sama pernah berlaku ketika Anwar mengumumkan untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
“Setiap kali ada angka enam dan berlaku pada bulan September, kita kena bersedia. Bagaimanapun bagi saya, kalau betul beliau ada angka, beliau harus mengikut prosedur dan peraturan.
“Kita ada peraturan, undang-undang dan perlembagaan. Setiap orang boleh isytiharkan tapi yang penting, rakyat nak tengok,” katanya.
Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa PAS tetap menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, sambutan ulang tahun MN akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, yang akan menerima masuk secara rasmi komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu. –

