KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan menyeluruh terhadap kepatuhan penjualan garam beriodin.
Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan itu bagi memastikan masalah kekurangan iodin dapat diatasi.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu mengikut pindaan Peraturan 285 dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.
“Sebelum ini peraturan yang sama sudah dikuatkuasakan di Sabah dan kini diperluas di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, KKM memaklumkan bahawa pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sudah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuatkuasa di seluruh negara mulai 30 September ini.
Pindaan mengikut peraturan ini mewajibkan semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh negara.
Dr Noor Hisham berkata, hasil tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan, menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur lapan hingga 10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.
Beliau berkata, kekurangan iodin juga menjadi antara punca 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah ‘goiter’ iaitu benjolan pada kelenjar tiroid sehingga boleh membesar dan memasuki bahagian rangka dada.
“Sekiranya benjolan itu menghimpit saluran esofagus, ia boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk menelan makanan.
“Selain itu, tinjauan membabitkan wanita hamil dan murid sekolah juga menunjukkan pengambilan iodin tidak mencapai paras optimum,” katanya.
Katanya, justeru pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin di kalangan masyarakat memandangkan garam adalah bahan asas digunakan di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira status pendapatan.
Beliau berkata, penggunaan garam beriodin dalam makanan juga didapati tidak akan menjejaskan kualiti rasa makanan disediakan.
“Pada masa sama, pengguna juga diingatkan pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain, misalnya darah tinggi,” katanya. -Malaysiapost

