MN masih belum ada ‘batu nisannya’ – Tuan Ibrahim

0
2

HUBUNGAN antara PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) disifatkan sebagai belum ada ‘batu nisan’ lagi oleh  Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata arah tuju MN yang membabitkan gagasan kerjasama penyatuan ummah itu akan dinilai semula selepas selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Tuan Ibrahim percaya MN yang dimeterai di antara PAS dan Umno pada September 2019, masih wujud dan belum ada batu nisannya.

Mengulas lanjut beliau berkata, ini kerana sehingga kini tiada mana-mana pemimpin sama ada dalam PAS dan Umno yang mengisytiharkan kerjasama itu sudah tamat.

“Jadi secara prinsipnya walaupun ia tidak nampak hidup, namun dia tak mati…statusnya sebagaimana ada…ia masih ada.

“Tiada satu parti yang isytihar tarik diri atau keluar…ia tak masuk ICU (unit rawatan rapi) lagi tapi ia sebenarnya kalau tengok di luar negara, pada musim sejuk ia macam pokok yang dilihat macam mati.

“Kita tutup fail dulu dengan MN ini sementara hadapi PRN dan selepas ini akan tengok semula…kita tengok keadaan cuaca dulu nanti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Simpang Jeram, Muar, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, talian hayat MN kini hanya kepada hubungan peribadi yang baik dengan pemimpin dalam Umno kerana tiadanya mana-mana pertemuan dibuat di peringkat jawatankuasa induk diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Menurutnya, PAS tetap menekankan kepada penyatuan ummah dan atas dasar itu parti berkenaan tidak kisah dilihat bermain ‘dua kolam’.

“Jangan kata dua kolam, 10 kolam pun boleh kerana kita melihat ummah ini perlu bersatu dan politik boleh menjadi asas dalam penyatuan itu. Kita bersedia dalam penyatuan umat dalam apa sahaja pilihan.

“Kita dalam Kabinet masih bersama Umno…tiada masalah kerana kita bekerja untuk rakyat dalam konteks ini…ia bermakna dari segi itu hubungan kita sangat baik,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan dalam PN, beliau berkata, PAS akan memperkukuhkan kekuatan dalam gabungan itu khususnya bersama Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita akan terus pandang ke depan tidak boleh toleh ke belakang untuk mengukuhkan hubungan dalam PN untuk menghadapi sesiapa sahaja pada PRU-15 nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here