
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berjaya mendapatkan perintah injunksi ad-interim terhadap pemilik syarikat Agenda Daily supaya portal itu memadam artikel didakwa memfitnahnya.
Ismail Sabri membuat permohonan itu berikutan perintah injunksi sebelah pihak yang diperolehnya pada 18 Februari lalu terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise, Muhammad Izwan Mohd Zubit, berakhir pada 11 Mac ini.
Perintah injunksi itu adalah membabitkan kes saman fitnah yang difailkan Ismail Sabri atas kapasiti peribadi terhadap Muhammad Izwan yang dinamakan sebagai defendan.
Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri, berkata injunksi ad-interim itu berkuat kuasa sehingga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar dan memutuskan permohonan injunksi inter-parte (dua belah pihak) yang ditetapkan 27 April ini.
Prosiding melalui aplikasi Zoom hari ini, berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Evrol Mariette Peters.
Joshua berkata, Muhammad Izwan, baru saja melantik peguam untuk mewakilinya.
“Pada pendengaran hari ini, kami mewakili plaintif dan menyebut bagi pihak defendan yang baru melantik peguam.
“Defendan memohon masa untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi difailkan plaintif (Ismail Sabri) dan mahkamah membenarkan permohonan itu.
“Sehubungan itu, kami memohon perintah injunksi ad-interim untuk mengekalkan status quo,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ismail Sabri berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara itu pada 18 Februari lalu, yang memerintahkan Muhammad Izwan memadamkan artikel didakwa memfitnahnya bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’.
Muhammad Izwan juga diperintahkan tidak membuat sebarang kenyataan yang membayangkan Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai perdana menteri, dan bahawa beliau ‘rayu’ atau akan ‘rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.
Dalam pernyataan tuntutan melalui saman fitnah difailkan pada 17 Februari lalu, Ismail Sabri berkata, pada 30 Januari lalu, defendan menerbitkan artikel itu di dalam laman webnya.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, artikel itu jika dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dirinya.
Selain memohon injunksi, Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Malaysiapost
