KEADAAN banjir di Pantai Timur semakin pulih dengan hanya 7,561 mangsa daripada penduduk daripada 2,314 keluarga yang dipindahkan ke 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu setakat pagi ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui laporan terkini di portalbencana.nadma.gov setakat jam 8 pagi tadi, Terengganu kini mencatatkan seramai 2,846 mangsa membabitkan 808 keluarga dipindahkan ke 16 PPS.
Keadaan itu menunjukkan penurunan ketara 5,112 mangsa daripada 1,272 keluarga dipindahkan di 20 PPS pada jam 12 tengah malam tadi.
Hanya dua daerah yang masih terjejas di Terengganu membabitkan Dungun dan Hulu Terengganu.
Sementara itu, di Kelantan seramai 4,715 mangsa daripada 1,506 keluarga dipindahkan ke 17 PPS di dua daerah sehingga jam 8 pagi tadi dan keadaan itu adalah sama pada tengah malam tadi.
Daerah di Kelantan yang masih terjejas banjir adalah Pasir Mas dan Tumpat. – Malaysiapost

