PARTI Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA) didakwa menceroboh premis anak kerajaan negeri Johor dengan menjadikan inkubator usahawan yang dibina Perbadanan Islam Johor (PIJ) sebagai bilik gerakan.
Inkubator usahawan terletak di Stulang Baru berkenaan didakwa telah digunakan sebagai bilik gerakan calon MUDA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dan susulan itu satu laporan polis telah dibuat semalam oleh PIJ berhubung perkara itu.
Berdasarkan laporan polis itu, MUDA telah menggunakan dua inkubator tanpa kebenaran PIJ.

“Tiada sebarang perjanjian ditandatangani antara pihak MUDA dengan pihak PIJ Property Development. Malah pihak pengurusan kami tidak pernah berhubung dengan wakil tersebut.
“Kami menganggap bahawa ini adalah pencerobohan kepada aset syarikat kami.
“Malah ia bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan inkubator tersebut hanya bagi tujuan keusahawanan dan bukan untuk kegunaan mana-mana ahli politik,” menurut laporan polis yang tular itu.
Sehubungan itu, pihak PIJ meminta kerjasama polis melaksanakan siasatan dan meminta pihak MUDA mengembalikan semula aset dalam keadaan baik.
DUN Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini dengan Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar, 28, menjadi calon bagi parti itu.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, 38, dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain, 48 tahun.
Manakala Perikatan Nasional (PN) pula, diwakili bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Zukifli Bujang, 44 tahun, dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencalonkan Mohamad Riadz Hashim, 49 tahun.
Pada pilihan raya umum yang lalu calon PH ketika itu Datuk Mohd Izhar Ahmad dari Parti Bersatu telah memenangi DUN Larkin dengan majoriti 8,590 undi. – Malaysiapost

